Monday 20 April 2015

Mencari Seorang Imam

Tak kacak tak apa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan. Tak kaya tak apa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan. Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik. Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh. Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang imam tidak mudah. Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik? Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam. Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam. Ada juga yang merasakan lelaki ‘berpengajian agama’ itu paling baik sebagai imam. Saya geleng kepala. Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu. Pun begitu, saya suka mencadangkan. Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh ‘suai-kenal’ atau istilah rasminya , bertunang. Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan ‘sepenuh ketaatan’ kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang. Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.

No comments:

Post a Comment